Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Ayub 38

A A A
Alkitab Versi Borneo

Kuasa Allah atas segala-galanya

1Kemudian TUHAN menjawab Ayub dari dalam angin puting beliung, 2"Siapakah orang ini yang meragukan hikmah-Ku dengan kata-kata yang tidak berilmu?

3Bersiaplah engkau sebagai seorang lelaki;

Aku hendak bertanya kepadamu, dan engkau harus menjawab Aku.

4Di manakah engkau ketika Aku meletakkan asas bumi?

Jawablah jika engkau berpengetahuan.

5Siapakah yang menentukan ukuran bumi?

Tentu engkau tahu!

Atau, siapakah yang merentangkan tali pengukur di atasnya?

6Di atas apakah asas-asasnya ditanamkan?

Atau, siapakah yang meletakkan batu penjurunya

7ketika bintang fajar bersorak-sorai bersama-sama

dan semua anak Allahi bersorak gembira?

8ASiapakah yang menutup laut dengan pintu ketika laut memancar keluar dari dalam rahim,

9ketika Aku menjadikan awan pakaiannya

dan kelam pekat kain bedungnya,

10ketika Kuputuskan batas baginya

dan Kupasang palang serta pintu,

11ketika Aku berfirman, 'Sejauh ini engkau boleh pergi tetapi tidak lebih.

Di sinilah gelombangmu yang bongkak akan berhenti'?

12Seumur hidupmu pernahkah engkau memerintahkan terbitnya pagi,

atau memberitahu fajar tempatnya,

13supaya ia memegang hujung-hujung bumi

dan mengebaskan orang fasiq dari dalamnya?

14Bumi berubah seperti tanah liat yang dimateraikan,

segala sesuatu menjadi seperti pakaian.

15Tetapi cahaya orang fasiq ditahan,

dan lengan yang terangkat dipatahkan.

16Pernahkah engkau pergi sampai ke mata-mata air di laut,

atau menjalani tempat-tempat rahsia samudera?

17Pernahkah pintu-pintu gerbang maut diperlihatkan kepadamu?

Pernahkah kaulihat pintu-pintu gerbang bayang maut?

18Pernahkah kaufahami luasnya bumi?

Nyatakanlah kalau engkau tahu akan semua itu.

19Di manakah jalan ke tempat kediaman cahaya?

Di manakah tempat tinggal kegelapan,

20sehingga engkau dapat menghantarnya ke daerahnya

dan mengetahui jalan ke rumahnya?

21Tentu engkau tahu kerana engkau sudah lahir pada waktu itu

dan jumlah harimu sudah banyak!

22Pernahkah engkau masuk ke dalam perbendaharaan salji,

atau melihat perbendaharaan hujan ais,

23yang Kusimpan untuk masa kesesakan,

untuk hari pertempuran dan peperangan?

24Di manakah jalan tempat kilat dibahagikan,

tempat angin timur disebarkan ke atas bumi?

25Siapakah yang membuka saluran bagi air bah

dan jalan bagi kilat guruh,

26untuk menghujani tanah yang tidak ada orangnya,

gurun yang tidak ada manusianya,

27untuk mengenyangkan padang yang tandus dan sunyi,

serta untuk menumbuhkan tunas-tunas rumput muda?

28Apakah hujan itu berayah?

Atau, siapakah yang menyebabkan titik-titik embun lahir?

29Daripada kandungan siapakah keluar ais?

Siapakah yang melahirkan embun beku di langit,

30ketika air mengeras seperti batu

dan permukaan samudera membeku?

31BDapatkah engkau mengikat gugusan bintang Kartika,

atau melepaskan ikatan bintang Belantik?

32Dapatkah engkau mengeluarkan rasi-rasi bintang pada masanya,

atau memandu bintang Biduk dengan anak-anaknya?

33Tahukah engkau ketetapan-ketetapan langit?

Dapatkah engkau menetapkan pemerintahannya di atas bumi?

34Dapatkah engkau menyaringkan suaramu sampai ke awan,

atau meliputi dirimu dengan air bah?

35Dapatkah engkau mengutus petir sehingga mereka pergi

sambil berkata kepadamu, 'Inilah kami'?

36Siapakah yang menaruh hikmah di dalam batin?

Atau, siapakah yang memberikan pengertian kepada fikiran?

37Siapakah yang dapat mengira jumlah awan dengan hikmah?

Siapakah yang dapat mencurahkan isi kirbat-kirbat langit,

38ketika debu jadi keras

dan gumpalan-gumpalan tanah berlekatan?

39Dapatkah engkau memburu mangsa bagi singa betina,

atau mengenyangkan anak singa yang lapar

40ketika singa-singa itu meringkuk di sarang,

dan menunggu di belukar?

41Siapakah yang menyediakan bekal bagi burung gagak

ketika anak-anaknya berteriak kepada Allah

dan berkeliaran kerana kekurangan makanan?